Friday, 12 November 2010

Warna-warni dunia ku telah hilang

Akhirnya hari itu telah tiba. Hari di mana dunia ku yang penuh warna-warni telah menjadi kabur dan hilang serinya. Hilang segala keindahan dunia, ditelan 'jerebu' yang menusuk mata. Oh, aku sepi tanpamu. Tanpamu, aku tak sanggup mengharungi hidup penuh rintangan ini. Tak sanggup untuk aku menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku pada diri ini. Buat dirimu, ku ucapkan selamat tinggal, buat selama-lamanya.

IN LOVING MEMORY OF SPEK: 2009-2010

Spek

Oh Spek, engkau sentiasa memahami diriku, tapi bila aku menanyakan apa yang engkau mahukan, engkau membisu seribu bahasa. Engkau tidak pernah membuat aduan, tapi engkau akur pabila jari-jemari ku ingin membengkokkan tangan mu agar ia muat di muka ku. Engkau tidak kisah meredah hujan bersama ku ketika hujan lebat pagi tadi, demi menemankan ku untuk mendapatkan Teppanyaki Chicken Set yang perut ku idamkan. Aku tidak memakai mu, tetapi aku membiarkan engkau berehat. Tapi aku tidak menyangka bahawa itu adalah rehat terakhir buat mu, selama-lamanya. Engkau patah di jemari ku sendiri tika diri ini cuba untuk membersihkan mu. Cubaan menyambung tangan mu tidak berjaya; aku bukanlah doktor, hanya seorang ahli matematik sahaja. Maka engkau aku 'declare' telah tidak dapat berfungsi lagi. Wahai Spek, jika engkau melihat gambar ini daripada dunia Spek-takular di sebelah sana, tahulah engkau bahawa gambar ini merupakan badan mu Spek. Aku akan sentiasa ingat kenangan kita bersama, meredah peluh dan minyak muka ku, air hujan membasahi dirimu. Dan tahulah engkau bahawa aku akan mengebumikan dirimu di dalam pusara yang layak untuk mu, yakni tempat meletak spek. Akan aku kebumikan mu bersama-sama sampah yang lain di dalam tong sampah di luar, tapi jangan risau Spek. Memori indah kita akan sentiasa ku kenangi dan genangi. Terima kasih kerana perkhidmatan mu selama setahun lebih; cukup puas untuk aku katakan bahawa engkaulah spek yang terbaik untuk ku. Jasamu dikenang Spek. 

Selamat tinggal Spek. Tenanglah engkau di dunia sana, tanpa minyak-minyak di muka.

~Sentiasa Merinduimu, Eddy~

No comments:

Post a Comment