Oh Tuhan, salahkah untuk saya meminta apa yang saya mahukan tetapi saya tahu saya tidak mampu? Salahkah untuk saya berangan memiliki apa yang orang lain miliki tapi tidak mungkin dapat? Adakah ini dugaan berpanjangan yang tidak mungkin selesai atau pun sekadar perasaan yang ingin memberontak, hati yang gundah gulana katanya, atau pun adakah sekadar peringatan bahawa kita semua harus bersyukur dengan apa yang ada? Perkataan itu seringkali dilaung-laungkan dari mulut orang, tetapi bak kata pepatah, "It is easier said than done". Betul, senang untuk diperkatakan tetapi untuk melakukan, ya Ampun, terus meroyan sana sini. Kenapa hati ini sering mahu memberontak, minta untuk dilepaskan, minta orang nak buka rantai dia, dibiarkan berjalan bagaikan seorang anak kecil? Oh Tuhan, bantu anak Mu ini Tuhan menjadi seorang yang lebih dewasa Tuhan, menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab, sedar diri sendiri Tuhan, dan senantiasa berpijak di bumi yang nyata. Saya mencoret di sini kerana tiada lagi tempat untuk mengadu, tiada orang yang saya kenal yang mampu mendengar segala isi hati saya, tiada teman yang saya boleh katakan sebagai kawan baik saya untuk meluahkan segala isi hati yang terpendam selama ini. Hanya alam maya menjadi teman yang setia, dan beberapa pembaca blog lain di luar sana yang tidak mengenali anak muda yang menulis coretan ini, malah hanya mampu berasa geli dengan post kali ini.
Kenapa hati ini gundah gulana? Kenapa kali ini baru pertama kali ingin mencoretnya di sini? Bangun pagi tadi sahaja tetiba otak buat hal, terus memikirkan yang bukan-bukan, memikirkan masa depan yang tidak menentu, emosi tiba-tiba berkecamuk, hendak menangis pun ada, hendak marah pun ada, kecewa??? Tidak perlu cakap, sakitnya tidak terhingga. Lantas aku ingin mencoret semua yang terpendam di sini.
Mengapa diri ini cemburu melihat rakan-rakan lain gembira? Saya tahu, mungkin ada diantara teman-teman ku yang lain melihat ku sebagai seorang lelaki yang selalu happy-go-lucky, selalu ketawa, buat lawak, walaupun tak seberapa. Tapi dalam hati ini Tuhan sahaja yang tahu; dalam hati ini gundah gulana, berkecamuk senantiasa, banyak masalah yang tidak selesai, sentiasa berasa risau, dan semua itu pasal hidup. Mengapa perlu saya cemburu? Mengapa perlu melihat rakan-rakan lain mempunyai semua yang dimiliki sedangkan saya hanya mampu menyentuh, akan tetapi tidak mungkin buat selama-lamanya. Mempunyai wang yang banyak, mampu memiliki segala-galanya, apa yang perlu dibuat hanyalah minta restu mak ayah untuk membeli semua benda tersebut. Petik jari sahaja, benda itu ada didepan mata. Sakit hati dengan itu semua, terkilan rasanya. Saya ingin menjadi seperti itu, seperti rakan ku, yang ku rasakan mempunyai semua yang dia mampu miliki. Maklumlah anak orang berada, sejauh mana berada nya, aku juga tidak tahu. Aku tidak kisah, asalkan mempunyai wang banyak sahaja sudah cukup. Ingin dimanjakan oleh mak ayah, tapi kalau mak ayah tidak mampu, hendak meminta tempat siapa? Hanya mampu meminjam sahaja, tidak kurang pun memandang dari jauh.
Walau bagaimanapun sakit hatinya perasaan tersebut, saya tetap berkata dalam hati, saya mampu miliki itu semua, mampu untuk membeli itu semua, cuma masa sekarang tidak mengizinkan untuk itu semua. Saya tidak perlu ada keinginan untuk semua benda itu sekarang. Apa yang ada, cukuplah sekarang, tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk dengan orang lain bahawa saya seorang yang sangat berada orangnya. Cukup dengan apa yang ada pada keperluan sekarang; walaupun hati ini masih sakit untuk menanggungnya, masih cuba untuk melepaskannya, tetapi saya pasti saya mampu untuk mengawal perasaan. Pasal wang, tidak perlu saya mempunyainya dalam kuantiti yang banyak sekarang. Sekadar cukup untuk makan, membeli barang keperluan lain yang dirasakan sesuai sahaja. Saya cuba belajar untuk mengurus kewangan sekarang, supaya kelak nanti tidak perlu risau di hari senja. Cuba belajar untuk mengawal nafsu, agar nafsu tidak mengikis wang yang ada sekarang. Moga-moga ini semua membantu saya untuk matang dalam pengurusan kewangan, dan akhirnya pengurusan hidup. Oh Tuhan, Engkau bantu anak Mu ini Tuhan agar aku sentiasa berfikiran matang, terutama sekali dalam pengurusan kewangan yang berhemah. Amen.
Mengapa hati ini resah, bila difikirkan diri ini tidak mempunyai ramai teman? Mengapa hati ini sakit hati pabila diri ini hanya mampu duduk dalam bilik seorang, sedangkan teman yang lain di luar sana mampu berjoli di sana sini? Mampu untuk mendapatkan kehidupan sosial yang diinginkan? Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab persoalan ini. Adakah saya seorang insan yang tidak mempunyai 'ong'? Tidak mempunyai karisma, seperti mana yang dimiliki oleh rakan ku yang satu ini? Tidak perlu memetik jari, orang lain berebut untuk mengenali beliau, berebut untuk menjadi rakan beliau. Dia hanya perlu duduk diam sahaja, dan secara automatik orang akan mengenali beliau, lantas melambai ke arah beliau, lalu mengucapkan salam kepadanya. Saya ingin menjadi seperti itu, ingin dikenali orang, ingin dilambai oleh orang, ingin ditanyakan salam, walaupun saya tidak mengenali orang tersebut. Rakan ku ini bukanlah seorang artis, malah beliau tidak memilih bidang seni sebagai kerjaya hidup, hanya kerjaya di atas pelantar minyak sahaja. Itu pun saya tidak pasti adakah beliau akan hidup di atas pelantar minyak atau pun bekerja di dalam sebuah syarikat, mungkin sahaja memegang jawatan tinggi kerana berkarisma tinggi. Beliau boleh diibaratkan seperti "di mana ada gula, di situ ada semut". Akan tetapi "gula" yang beliau ada itu merupakan karisma, 'ong' kata orang, pabila di bawa kemana-mana sahaja pasti senang. Orang lain mudah bergaul dengan beliau; itu juga apa yang saya impikan selama ini, agar pabila terjumpa di mana-mana sahaja, lantas orang terus memberi salam dan mengajak ku bergaul. Ini tidak; setiap kali aku berkata, pasti dipotong rakan, kalau tidak pun mereka tidak mendengar kata-kata ku. Aku juga gugup orangnya, tidak senang untuk aku berkata-kata dengan lancar. Aku terkilan, ya aku memang terkilan, Tapi apakan daya, mungkin kerana aku tidak berfikir sebelum berkata-kata, menyebabkan aku tergugup mengeluarkan bicara, atau suara dalam ku tidak didengari orang. Ingin menjaga suara katanya, atau mungkin juga suara ku tiada 'ong'. Mungkin coretan ini menunjukkan bahawa saya seorang yang ingin kepopularitian, ingin dikenali ramai, seperti artis katanya. Ya memang saya impikan itu semua, memang saya mahukan populariti, memang saya ingin menjadi seperti artis, walaupun saya tidak berkecimpung dalam arena seni. Ingin dikenali ramai, kerana itu semua membuatkan hatiku senang, walaupun tidak mempunyai banyak wang, akan tetapi jikalau diri ini dikenali ramai, lebih dari cukup buat ku, kerana kepopularitian bagiku adalah "wang" juga, akan tetapi wang sosial, bukan wang material.
Tapi bagaimana mungkin itu semua akan terjadi, jikalau rakan kerap melupakan aku, kerap menjauhkan diri dari ku? Atau adakah aku sendiri yang menjauhkan diri daripada mereka, kerana kesibukan menguruskan persatuan, kesibukan menganjurkan apa jua acara, kesibukan menguruskan akademik? Ya saya akui, saya juga kerap menjauhkan diri dari rakan, bukan kerana kesibukan penganjuran acara atau akademik, akan tetapi kadang kala aku merasakan bahawa dunia ini asing bagi ku, dunia ini tidak mahu aku berpijak di bumi yang nyata ini, lantas aku berangan aku mempunyai semua yang dimiliki. Saya kerap berangan, saya akui, akan tetapi pabila sedari angan-angan itu tidak mungkin menjadi nyata, aku lantas kembali berpijak di bumi nyata. Sedih menjelma dalam diri, sakit hati, kecewa, lantas aku berangan semula. Lalu itu semua membuatkan ku menjauhkan diri lagi daripada rakan-rakan yang lain. Ya saya akui, mungkin saya sendiri memilih jalan untuk hidup seorang diri, akan tetapi apakan daya, naluri itu sudah bersemadi dalam diri ini, seseorang yang memilih untuk hidup sendirian akan tetapi pada masa yang sama mahu untuk bersosial sepuas-puasnya, lantas aku menjadi gundah gulana. Aku diibaratkan seperti Holly Golightly lakonan arwah Audrey Hepburn, dalam filem Breakfast at Tiffany. An introvert trying to be an extrovert.
Aku terkilan, cemburu pabila melihat rakan sedang sibuk mengatur persiapan sempena parti yang akan datang. Saya juga ingin membantu, bukan kerana suka-suka, akan tetapi memang naluri itu sudah ada dalam diri, suka membantu orang, akan tetapi ada orang yang membantu diri ini? Saya terkilan lagi pabila mereka tidak langsung menanyakan saya samada saya ingin membantu mereka untuk persiapan tersebut, menelefon pun tidak, lantas aku memikirkan bahawa mereka ini sahaja tidak mahu aku berada di situ. Apakah daya, apa yang mampu ku lakukan hanyalah berdiam diri sahaja; jika aku menanyakan mengapa aku tidak dijemput, mungkin jawapan yang diberikan sama sahaja: kerana aku sibuk, ada itulah, ada inilah. Ya saya akui jikalau mereka ingin mengajak ku kemana-mana pasti aku memberikan jawapan seperti di atas. Akan tetapi pernahkah terlintas di fikiran mereka bahawa aku memberontak dalam diri ingin kehidupan sosial seperti yang mereka ada; walaupun sekadar membantu mereka untuk membuat persiapan kecil untuk parti, akan tetapi bagi ku ia lebih dari itu. Itu lah merupakan masa yang aku hargai, masa bersama rakan-rakan, walaupun singkat tetapi berharga. Kerana hakikatnya diri ini sentiasa keseorangan, di luar dan di dalam. Jikalau tidak, masakan aku menulis coretan ku di sini, seperti gaya orang yang ingin menagih simpati. Bukan! Aku mencoret di sini kerana inilah tempat yang kurasakan selesa bagi ku. Aku tidak kisah jikalau aku dikomen ingin menagih simpati, ingin itu, ingin ini, cukup kurasakan aku meluahkan apa yang tersirat di hati, tidak mahu ia menjadi barah di dalam diri. Cukup dengan semua kekecewaan ku selama ini. Aku ingin mengucapkan selamat tinggal kepada itu semua, kepada semua gundah gulana itu. Cukup.
Tidak perlu untuk memberi simpati kepada coretan ini, kerana anak muda ini penat memberi simpati terhadap diri sendiri, penat berhadapan dengan segala-galanya, penat untuk meluahkan secara lisan, maka aku hanya mampu menulis sahaja. Aku bertanya dalam diri: adakah ini takdir ku, hidup keseorangan, hidup tanpa mempunyai rakan yang ku boleh katakan sebagai rakan baik buat ku? Hidup kebosanan, setiap hari rutin sosial yang sama? Tidak sanggup untuk aku berhadapan dengan jawapan kepada semua persoalan itu, apatah lagi menyebutnya. Aku tidak berdaya memikirkan itu semua. Apa yang mampu ku buat sekarang adalah mengharap, agar takdir tidak bermain-main dengan hidup ku, sebaliknya menemukan ku dengan rakan baik yang sesuai dengan diri ku. Ya saya akui, saya mengharap itu semua, seorang rakan baik, yang bukan sahaja ketawa bersama-sama ku, malah sanggup memikul aku di kala aku dilanda ribut masalah, di luar dan di dalam. Seorang rakan baik, hanya seorang, tidak lebih dari itu, yang memahami diri ku seadanya, dan aku berdoa kepada Tuhan, sekiranya aku Engkau anugerahkan seorang rakan baik, aku berjanji untuk menjadi seorang rakan baik kepada dia juga. Memahami dirinya, menerimanya seadanya, seperti dia menerima ku seadanya, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan.
Ya, mungkin coretan di atas membuatkan kamu terfikir bahawa aku ini seorang yang tidak pandai untuk berkawan, tidak tahu untuk bersosial, tetapi inginkan kehidupan seperti seorang artis. Betul, memang itu benar. Akan tetapi otak kelabu ku berfikir, perlukah itu semua? Perlukah aku mempunyai kehidupan seorang artis, akan tetapi amalan hidupnya sangat jahanam sekali? Dikelilingi teman yang mampu ketawa bersama, akan tetapi kecut untuk menangis bersama. Tatkala setitik air mata yang jatuh menitik, tetiba sedar rakan ketawa telah tiada di sisi. Hilang entah ke mana, bak kata pepatah, "Gone with the wind". Kerana itulah aku mencoret seperti di atas, aku ingin seorang sahaja rakan baik, sudah lebih dari cukup buat ku. Aku senang dengan seorang rakan baik yang memahami diriku seadanya. Kepopularitian dalam kalangan rakan? Lebih baik kepopularitian dalam kalangan malaikat-malaikat di syurga, daripada kepopularitian dalam kalangan syaitan. Jikalau aku redha dengan wang material yang hanyalah sekadar cukup-cukup makan sahaja, biarlah aku redha juga dengan wang sosial yang ada. Biarlah wang sosial yang ada, cukup untuk membeli tiket ke syurga. Aku tak kisah popular, aku tak kisah mempunyai ramai kawan, asalkan mereka tidak menjahanamkan hidup ku, dan sanggup bersama aku di kala suka dan duka. Dan aku juga berharap agar aku menjadi matang dalam hidup, matang dalam memilih kawan yang betul, serta ditunjukkan jalan yang sentiasa menuju ke syurga. Amen.
Coretan di atas bukan untuk menagih simpati sesiapa, mahupun menimbulkan rasa sedih di hati pembaca blog yang lain. Anak muda yang menulis ini sekadar ingin meluahkan apa yang tersirat di dalam hati, yang telah lama terpendam, jangan dibiar merebak dalam diri katanya. Coretan ini sebagai peringatan kepada anak muda ini, juga untuk pembaca blog yang lain, agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, dan sentiasa beringat, wang bukan segala-galanya, walaupun segala-galanya memerlukan wang, samada wang material mahupun wang sosial. Coretan ini juga bertujuan untuk menimbulkan kesedaran di hati anak muda ini bahawa segala-galanya ada waktu yang tersendiri, kita cuma perlu khuatir bagaimana harus bersiap untuk menyambut waktu seperti yang dikatakan itu. Perancangan harus sentiasa dilakukan, agar hati tidak lagi gundah gulana seperti coretan di atas. Di akhir kata, hargai apa yang ada sekarang, sebelum ia berlalu pergi.
Sekian.